Tatabahasa Dalam Pengajaran Bahasa Melayu
1.0       Pengenalan
            Penanda Wacana digunakan untuk memantapkan lagi keutuhan wacana bagi mengaitkan perenggan dengan perenggan. Selain itu, penanda wacana juga digunakan untuk mewujudkan kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana. Aspek penanda wacana akan mempengaruhi pengolahan, struktur ayat, pemerenggan, kosa kata, dan bahasa secara keseluruhannya yang sangat diperlukan dalam usaha menghasilkan sebuah karangan atau ucapan yang baik. Dalam huraian isi, penanda wacana dan pola perlu diberikan perhatian juga. Penggunaan kata yang sesuai penting supaya huraian pada isi pokok itu tidak kelihatan terpisah antara satu sama lain. Tegasnya, penanda wacana menyempurnakan tautan isi-isi di dalam ucapan atau esei.
Dalam bahasa Melayu lama, satu ciri yang menonjol ialah penggunaan penanda wacana dengan banyaknya. Contohnya ialah maka, syahdan, sebermula, arakian, hatta, kata sahibul hikayat, dan lain-lain lagi. Penanda-penanda wacana sebegini jarang-jarang digunakan lagi pada masa ini, kecuali maka dan hatta. Tetapi ini tidak bererti sudah tidak ada penanda wacana dalam bahasa melayu. Kini timbul penanda-penanda wacana baharu pula, sesuai dengan perkembangan yang berlaku kepada bahasa kita.
1

Contoh penanda wacana:
Kata penghubung
-tetapi -lalu –jika -serta -agar –supaya -sungguhpun -kerana -walaupun

Penambahan
-dan -sebenarnya -juga -sekali lagi -bertitik tolak -hal ini-tambah lagi -lebih-lebih lagi
-selain juga

Perbandingan/ Perbezaan
-tetapi -dalam nada yang berbeza -selain itu -walaupun -sehubungan dengan
-sebagaimana -sebaliknya -jika dibandingkan dengan -sama dengan
-berbeza dengan -walau bagaimana sekalipun -selari dengan
-walau bagaimanapun -setelah dibandingkan dengan -namun demikian

Turutan/ terusan
-pertamanya -akhirnya -selain itu -keduanya -seterusnya -pertama sekali -selepas itu
-lebih awal dari itu -lebih penting lagi
Contoh
-contohnya -biar kita ambil contoh -khususnya-misalnya -mari kita mengambil contoh
-terutamanya-umpamanya -apa yang dimaksudkan -seperti
Masa
-akhirnya -pada masa yang sama -sesekali -dewasa ini -pada ketika itu -sebelum ini
-selepas itu -pada mulanya -semenjak itu -sementara itu -serentak dengan -ada ketikanya

Kesimpulan
-oleh itu -jadi –kesimpulannya -jika kita tidak -jelaslah -dapatlah disimpulkan bahawa
-kesudahannya -sesungguhnya -tanpa (penglibatan/ usaha, dan sebagainya.)
-pendek kata -walaupun -oleh hal yang demikian -ringkasnya -marilah kita
-komitmen semua pihak -sebagai rumusan -demikianlah -dapatkah kita membayangkan..
2
-kejayaan...bergantung pada -pada keseluruhannya -sebagai menggulung hujah
-keengganan... bakal menyaksikan -(peribahasa)
Penanda wacana umum
-dengan ini -banyak pihak yang berpendapat -amnya -sememangnya -selaras dengan
-lazimnya -sejajar dengan sering kali kita -justeru itu -sementelahan pula
-secara khususnya -pada kebiasaannya

1.1       Definisi Penanda Wacana
Penanda wacana merupakan kata, rangkai, kata, atau frasa yang menunjukkan pertalian, hujah, dan buah fikiran.

Penanda wacana ialah perkataan atau rangkaian perkataan yang menunjukkan pertalian antara suatu idea dengan idea yang lain dalam ucapan atau karangan.

Nik Safiah Karim, (2003), 
1.2       Konsep Penanda Wacana
Penanda wacana ialah perkataan ataupun rangkaian perkataan yang berfungsi menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa menulis ataupun berucap. Seandainya sesuatu wacana berkenaan tidak mempunyai penanda wacana yang tepat, kesannya seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan pertautan yang lengkap.

 (Harimurti Kridalaksana, 1982). 
Penanda wacana ialah kata atau frasa perangkai ayat. Sementara itu menghubungkan dua ayat lalu membentuk satu ayat dan antara perenggan. Dapatlah dirumuskan bahawa penanda wacana merupakan kata hubung antara dua ayat. Fungsi kata hubung ini ialah menghubungkan dan sekali gus menerangkan apa yang sedang dikatakan oleh ayat yang mengikutinya dan yang telah dikatakan oleh ayat sebelumnya. Sementara itu, penulisan penanda wacana harus dikuti tanda koma. Penanda wacana juga dapat digunakan untuk menghubungkan idea antara perenggan.
Awang Sariyan, (1980)
3
2.0       Jenis-jenis Penanda Wacana
            Menurut Nik Safiah Karim dan rakan-rakan (2010), terdapat sekurang-kurangnya
 lima jenis penanda wacana, iaitu :
(i)                 Penanda penghubung
(ii)               Penanda rujukan
(iii)             Penanda penggantian
(iv)             Penanda leksikal
(v)               Penanda elipsis atau pengguguran

2.0.1    Penanda Penghubung
Penanda penghubung ialah perkataan atau frasa yang menghubungkan sesuatu maklumat dengan maklumat yang lain dalam wacana. Sekiranya penanda wacana hadir pada awal ayat, lazimnya tanda koma (,) digunakan. Contoh dalam ayat:
a)         Guru hendaklah mengajar dengan menggunakan pelbagai alat bantu mengajar. Di
 samping itu, isi pelajaran yang disampaikan hendaklah menarik.

2.0.2    Penanda rujukan

Jenis penanda wacana yang kedua ialah penanda rujukan. Penanda rujukan ialah kata ganti nama yang digunakan bagi merujuk perkataan dan frasa lain. Contoh dalam ayat:
a)         Cikgu Ali mengajar di Sekolah Kebangsaan Telaga Air. Beliau mengajar di situ
 sejak tahun lalu.

2.0.3    Penanda penggantian

Penanda penggantian ialah perkataan atau frasa yang menggantikan perkataan atau frasa lain dalam wacana yang sama. Penanda wacana jenis ini terdiri daripada frasa nama, frasa kerja atau klausa. Contoh dalam ayat:
a)         Ibu tidak menggalakkan Abu terlalu kerap menonton televisyen. Mengikut ibu,
melakukan perbuatan itu tidak membawa manfaat. (frasa kerja)
5
2.0.4    Penanda leksikal

Penanda leksikal pula melibatkan kohensi atau pertautan antara perkataan atau frasa melalui pengulangan kata. Unsur pengulangan terdiri daripada pengulangan perkataan yang sama. Pengulangan perkataan yang sama makna (sinonim) pengulangan yang melibatkan perkataan yang umum maknanya dengan yang khusus maknanya (hiponim),
Dan pengulangan perkataan yang kehadirannya saling berkait (kolokasi). Contoh:
a)      Pengulangan perkataan yang sama:
  • Ayah mengucapkan tahniah kepada abang atas kejayaannya. Kami juga turut mengucapkan tahniah.
b)      Pengulangan sinonim:
  • Sungguh cantik pemandangan di tepi laut itu. Semua pengunjung bersetuju bahawa tempat itu sungguh indah.
c)      Pengulangan hiponim
  • Pasar tani itu menjual pelbagai jenis sayur; ada bayam, sawi, kangkung, dan kubis.
d)     Pengulangan kolokasi
  • Ahmad gemar menonton filem kung fu. Adegan yang paling digemarinya ialah adegan berlawan menggunakan senjata dan berlawan menggunakan kaki.

2.0.5    Penanda elipsis atau pengguguran

Penanda elipsis atau pengguguran melibatkan pengguguran perkataan atau frasa yang telah dinyatakan dalam ayat sebelumnya. Contohnya:
a)         Pada minggu lalu Keluarga Ahmad berkelah di Pantai Pasir Pandak. Demikian
juga keluarga kami.




6

Menurut Dr Adenan Ayob (2011), Terdapat tiga jenis penanda wacana iaitu:
2.1.1    Menunjukkan pertautan dari segi kronologi iaitu memberi pengertian kepada
persoalan berkaitan waktu.
Contoh penanda wacana:
lepas itu, lantas, semenjak itu, kini, mula-mula, kemudian, sebelum, pada zaman dahulu, pada hari esoknya dan sebagainya.
Contoh ayat:
a.       Pada zaman dahulu Kerajaan Melayu Melaka merupakan sebuah kerajaan yang kuat.
2.1.2        Memperjitu organisasi penulisan iaitu untuk menghubungkan bahagian wacana dengan bahagian wacana yang lain.
Contoh penanda wacana:
sebagai kesimpulan, untuk merumuskan, contohnya, tegasnya, dapat dinyatakan bahawa pertama, akhir sekali, dengan kata lain, dalam hal ini, dalam hubungan ini, untuk menjelaskan lagi dan sebagainya.
Contoh ayat:
a.       Penduduk di negara yang dilanda peperangan hidup dalam kesengsaraan. Mereka bukan sahaja kehilangan harta benda malahan anggota keluarga  yang tersayang.  Contohnya, ramai penduduk Islam Bosnia terpaksa melarikan diri ke negara jiran semata-semata untuk untuk menyelamatkan diri daripada menjadi korban peperangan.

2.1.3        Menghubungkan fakta dengan fakta atau idea dengan idea yang lain.
Menurut Dr Adenan Ayob (2011) dalam Leman Ahmad (1984) membahagikan
jenis penanda wacana kepada tiga bahagian , iaitu:
a.       Menambah atau memperluas idea
Contoh penanda wacana:
dan, selanjutnya, di samping itu, selain itu, lebih-lebih lagi, tambahan pula, begitu juga, seterusnya, satu lagi dan sebagainya.

7
Contoh ayat:
·         Ratusan ribu istilah dalam sesuatu bahasa tidak membawa erti tanpa istilah-istilah tersebut digunakan dalam penulisan, perbincangan, dan penterjemahan. Tambahan pula, istilah yang secara abstrak dihasilkan oleh jawatankuasa istilah belum tentu sesuai bagi sesuatu bidang.
b.      Menunjukkan pertentangan idea
Contoh penanda wacana:
tetapi, sebaliknya, pada masa yang sama, walaupun, walau bagaimanapun, walaupun demikian, sama ada, sebenarnya, namun, dan sebagainya.
Contoh ayat:
·         Adi dan keluarganya berpindah ke bandar pada akhir tahun lalu. Namun, hatinya masih teringat akan kampung halamannya.
c.       Menunjukkan hubungan antara sebab-akibat dan tujuan-syarat
Contoh penanda wacana:
jadi, oleh sebab itu, disebabkan, oleh yang demikian, untuk tujuan itu, maka, berikutan itu, dengan demikian, kecuali, dengan syarat dan sebagainya.
Contoh ayat:
·         Beg iru bukan beg saya, sebaliknya ia adalah beg Raju.

3.0       Fungsi-fungsi Penanda Wacana
            Nik Safiah Karim, (2010), menyatakan bahawa penanda wacana mempunyai
empat fungsi, iaitu:




8
3.0.1    Penghubung tambahan

Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu yang diperkatakan sebelumnya. Antara penanda wacana jenis ini termasuklah dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu, dan selanjutnya. Contoh dalam ayat:
a)      Saya telah meneliti cadangan ini dan telah mengambil keputusan untuk menyokongnya. Tambahan pula, cadangan tersebut amat bernas sekali.
Dalam ayat ini, tiga perkara yang disebut secara berurutan iaitu, bahawa saya telah meneliti cadangan ini, saya telah mengambil keputusan untuk menyokongnya, cadangan tersebut amat bernas. Ketiga-tiga perkara tersebut dihubungkan dengan kata hubung dan, dan penanda wacana tambahan pula yang berfungsi sebagai unsur tambahan iaitu, sebagai unsur wacana.

3.0.2    Penghubung tentangan

Penghubung tentangan ialah penghubung yang menunjukkan pertentangan maklumat antara suatu yang baharu diperkatakan dengan sebelumnya dalam wacana yang sama. Antara penanda wacana jenis ini termasuklah tetapi, sebaliknya, namun, namun begitu, dan walau bagaimanapun. Contoh dalam ayat:
a)      Dalam peperiksaan penggal lalu, prestasi Ali tidak begitu memuaskan. Walau
            bagaimanapun, dia berazam untuk mencuba lagi pada penggal ini.
Dalam contoh di atas, pernyataan awal ialah bahawa prestasi Ali tidak memuaskan dan ini boleh dianggap sesuatu yang mengecewakan. Namun begitu, ayat seterusnya menunjukkan bahawa semangatnya tidak patah dan bahawa dia akan terus mencuba lagi. Unsur pertentangan ini disampaikan melalui penanda wacana walau bagaimanapun.

3.0.3    Penghubung musabab
Penghubung musabab ialah penanda wacana yang merupakan sebab berlakunya sesuatu. Contoh penanda musabab ialah kerana, oleh sebab, oleh itu, oleh hal demikian, dengan itu, dan maka itu. Contoh dalam ayat:
9
a)      Pada petang ini saya berasa amat letih kerana bertungkus-lumus membersihkan rumah yang dilanda banjir kilat. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk tidak ke latihan bola sepak pada petang ini.
Dalam contoh di atas, pernyataan awal ialah bahawa badan saya letih. Ini diikuti dengan keputusan bahawa saya tidak akan menghadiri latihan pada petang tersebut. Pertalian antara dua urutan peristiwa ini dikaitkan dengan penanda wacana oleh itu yang membawa maksud musabab.

3.0.4    Penghubung tempoh

Penghubung tempoh ialah penanda penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu. Contoh penanda wacana jenis ini ialah mula-mula, pertama, seterusnya, kemudian, selanjutnya, selepas itu, maka dan akhirnya. Contoh dalam ayat:
a)      Mula-mula, saya disuruh duduk, kemudian diajak berbincang, akhirnya dibawa masuk bertemu dengan majikannya.
Dalam contoh di atas, pernyataan awal ialah saya disuruh duduk. Ini diikuti dengan diajak berbincang dan dibawa masuk bertemu dengan majikannya. Pertalian antara tiga urutan peristiwa ini dikaitkan dengan  tiga penanda wacana iaitu mula-mula, kemudian, dan akhirnya yang membawa maksud tempoh.

            Menurut Dr Adenan Ayob (2011) dalam Leman Ahmad (1984) pula, terdapat empat fungsi utama penanda wacana yang menunjukkan maksud tambahan, seterusnya, sebab dan ketika.
3.1.1    Penanda wacana untuk menunjukkan maksud tambahan.
Antara penanda wacana yang membawa maksud tambahan ialah:
(i)                 Ini bererti
(ii)               Di samping itu
(iii)             Pendek kata
(iv)             Malahan
(v)               Tambahan pula
11
3.1.2    Penanda wacana untuk menunjukkan maksud sebaliknya
Antara penanda wacana yang menunjukkan maksud sebaliknya ialah:
(i)                 Sesungguhnya
(ii)               Berbanding dengan
(iii)             Dalam masa yang sama
(iv)             Sebaliknya
(v)               Walau bagaimana sekalipun

3.1.3    Penanda wacana untuk menunjukkan sebab
Antara penanda wacana yang menunjukkan maksud sebab ialah:
(i)                 Berdasarkan
(ii)               Berpegang pada
(iii)             Sekiranya begitu
(iv)             Akibatnya
(v)               Kesudahannya

3.1.4    Penanda wacana yang menunjukkan maksud ketika
Antara penanda wacana yang menunjukkan maksud ketika ialah:
(i)                 Merujuk
(ii)               Berbalik kepada
(iii)             Akhirnya
(iv)             Sementara itu
(v)               Sejenak kemudian

4.0       Penggunaan Wacana dalam Perenggan
Terdapat beberapa fungsi penggunaan penanda wacana dalam sesuatu perenggan. Di bawah ini, saya kemukakan tiga petikan yang menggunakan penanda wacana yang menunjukkan empat fungsi utama penanda wacana.


12

4.0.1    Petikan 1.       
Penduduk di negara yang dilanda peperangan hidup dalam kesengsaraan. Mereka bukan sahaja kehilangan harta benda malahan anggota keluarga  yang tersayang.  Contohnya, ramai penduduk Islam Bosnia terpaksa melarikan diri ke negara jiran semata-semata untuk untuk menyelamatkan diri daripada menjadi korban peperangan. Bagi negara yang bersimpati dengan nasib mereka seperti Malaysia dan banyak negara lain akan memberi bantuan. Di samping itu, Malaysia juga menyediakan penempatan khas kepada rakyat Bosnia yang dibawa ke sini. Mereka akan dijaga dan diberi layanan istimewa sama seperti negara ini. Tambahan pula, rakyat Malaysia menerima dan begitu bersimpati dengan nasib rakyat Bosnia ini.

            Malahan
-          Contoh ayat topik:
            Mereka bukan sahaja kehilangan harta benda.
-          Contoh ayat huraian:
Mereka bukan sahaja kehilangan harta benda malahan anggota keluarga yang tersayang.
Penggolongan penanda wacana:
-          Penanda wacana ”malahan” tergolong sebagai penanda penghubung tambahan, yang merupakan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya.

Di samping itu
-          Contoh ayat topik:
Bagi negara yang bersimpati dengan nasib mereka seperti Malaysia dan banyak negara lain akan memberi bantuan.
-          Contoh ayat huraian:
Di samping itu, Malaysia juga menyediakan penempatan khas kepada rakyat Bosnia yang dibawa ke sini.
13
Penggolongan penanda wacana:
-          Penanda wacana ”di samping itu” tergolong sebagai penanda penghubung tambahan, yang merupakan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya.
-           
4.0.2    Petikan 2.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang bijaksana dan para hadirin yang dihormati. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah, ”Kelalaian Punca kebakaran”.

Hadirin yang dihormati,
            Lalai adalah satu sikap yang tidak baik. Kebakaran mungkin berpunca daripada banyak perkara. Namun begitu, kelalaian adalah penyebab utama kebakaran.
            Kita lihat sahaja di rumah, kita sering menggunakan ubat nyamuk, dapur gas, lilin, barangan elektrik dan sebagainya. Kelalaian kita semasa menggunakan alat-alat ini boleh menyebabkan berlakunya kebakaran di rumah. Lebih-lebih lagi, kanak-kanak yabg tidak diawasi oleh ibu bapa semasa menggunakan alat-alat tersebut.
            Selain itu, sikap acuh tidak acuh dalam menyediakan alat pemadam api di rumah juga menyebabkan tahap keselamatan diabaikan. Sikap sebegini tidak harus ada dalam diri kita.
            Justeru, tanamkan ikap prihatin dalam diri kita sebagai langkah berjaga-jaga dalam apa juga perkara. Kebakaran dapat dielakkan jika kita sentiasa berwaspada.
            Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa api semasa kesil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Oleh itu, elakkan kelalaian supaya tidak berlaku kebakaran.

Sekian, terima kasih.




14
Namun begitu
-          Contoh ayat topik:
            Kebakaran mungkin berpunca daripada banyak perkara.
-          Contoh ayat huraian:
Namun begitu, kelalaian adalah penyebab utama kebakaran.
Penggolongan penanda wacana:
-          Penanda wacana ”namun begitu” tergolong sebagai penanda penghubung  tentangan, yang menunjukkan maklumat antara suatu yang baharu diperkatakan dengan yang sebelumnya dalam wacana yang sama.

Akhir sekali
-          Contoh ayat topik:
            Kebakaran dapat dielakkan jika kita sentiasa berwaspada.
-          Contoh ayat huraian:
Akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa api semasa kesil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan.
Penggolongan penanda wacana:
-          Penanda wacana ”akhir sekali” tergolong sebagai penanda penghubung  tempoh, yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu.


4.0.3    Petikan 3.

            Semua objek di angkasa bergerak di atas paksi dan orbit masing-masing. Hal yang demikian ini menjadikan sistem suria begitu harmoni dan menakjubkan. Kita mesti memikirkan betapa luasnya alam semesta dan betapa teraturnya sistem suria.




15
            Hal yang demikian ini
-          Contoh ayat topik:
Bumi sentiasa berputar di atas paksinya.
-          Contoh ayat huraian:
Hal yang demikian ini menyebabkan berlakunya siang dan malam.
Penggolongan penanda wacana:
-          Penanda wacana ”hal yang demikian ini” tergolong sebagai penanda penghubung musabab, yang merupakan sebab berlakunya sesuatu.

5.0       Cadangan Aktiviti
            Aktiviti Penanda Wacana dan Frasa menarik
·         Pelajar diberikan  senarai perkataan dan frasa menarik yang telah dibukukan untuk dihafal dan mereka diminta menulis perkataan dan frasa-frasa menarik yang baru di dalam buku catatan.  Setiap hari pada waktu Pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu seorang pelajar diminta memberikan lima kata dan frasa menarik untuk dikongsi bersama-sama.
·         pelajar diberikan senarai penanda wacana untuk memulakan sesuatu ayat dan pelajar diminta mengingatinya.
·         Setiap kali waktu pembelajaran dan pengajaran penulisan karangan, pelajar diminta menggunakan penanda wacana, kata, dan frasa menarik  yang telah diberikan.
Contoh aktiviti:
            Pengajaran yang saya peroleh daripada petikan ialah ...............................................
................................. . Di samping itu, ..................................................................................
..................................................... . Selain itu, ......................................................................
.......................................................................... . Seterusnya, ...............................................
........................................... . Akhir sekali, ...........................................................................
..................................................................... . Kesimpulannya, kita hendaklah mengamalkan nilai-nilai yang baik dalam kehidupan seharian kita.

16
(aktiviti ini sesuai digunakan oleh murid-murid tahun 4,5, dan 6 untuk menjawab soalan penulisan bahagian C)

6.         Rumusan
            Penanda wacana merupakan perangkai ayat untuk menentukan perkaitan atau kesinambungan antara satu idea dengan satu idea yang lain dalam ayat atau perenggan.
Tidak dapat dinafikan bahawa sebuah penulisan karangan yang baik ialah karangan yang mempunyai isi yang banyak dan bertepatan dengan tajuk. Walau bagaimanapun, sekiranya sesebuah karangan itu tidak menggunakan penanda wacana yang sesuai, maka sudah tentu karangan itu menjadi tidak sempurna disebabkan binaan ayatnya yang tidak gramatis. Justeru penanda wacana memainkan peranan yang amat penting dalam menghasilkan satu-satu perenggan yang menarik bersesuaian dengan fungsi-fungsi penanda wacana itu sendiri seperti apa yang telah dijelaskan.

















17
Rujukan

Awang Sariyan. (1980). Kesalahan Umum Penggunaan Bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dr Adenan Ayob. (2011). Tatabahasa dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Selangor
 Darul Ehsan: Meteor Doc. Sdn. Bhd.

Harimurti Kridalaksana. (1978). ’Keutuhan wacana’ dalam Dewan Bahasa. Kuala
 Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Nasar bin Sukor, (2007). Buku Panduan Guru Bahasa Malaysia Tahun 6. Kuala
 Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Nik Safiah Karim, Abdul Hamid Mahmood, Farid M.Onn, dan Hashim Haji Musa.
 (2010). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Selangor : Dawama Sdn. Bhd.

Nik Safiah Karim. (2003). Bimbingan Pelajar Bahasa Kita Jilid 2. Selangor Darul Ehsan:
 Monosetia Sdn. Bhd.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Morfologi dan Sintaksis

Linguistik Dan Sosiolinguistik