Linguistik Dan Sosiolinguistik


LINGUISTIK DAN SOSIOLINGUISTIK


1.         Pengenalan

            Menurut Kamus Dewan, edisi keempat, bahasa kasar bermaksud bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan (digunakan). Manakala bahasa kesat adalah bahasa kasar yang digunakan untuk percakapan atau tulisan yang menyakitkan hati orang lain apabila mendengar atau membacanya.
Penggunaan bahasa yang kasar dan kurang sopan akan menimbulkan kesan yang buruk, malah akan menjejaskan hubungan kedua-dua pihak yang terbabit. Bahasa kasar adalah lawan bagi bahasa halus iaitu tidak mementingkan amalan sopan santun dalam proses berbahasa. Di samping itu, penggunaan bahasa kasar juga dapat menyinggung perasaan orang lain. Seperti yang telah dinyatakan dalam maksud bahasa kasar tadi, dapatlah dibahagikan bahasa kasar kepada dua kategori iaitu:

a.         Bahasa Kasar

Bahasa tidak sopan ini dikaitkan dengan penggunaan bentuk bahasa yang
tidak sesuai dengan tempat dan konteks sehingga menyentuh perasaan pihak tertentu. Selain itu, bahasa kasar juga akan menimbulkan rasa tidak selesa jika digunakan dalam situasi formal. Penutur yang menggunakan bahasa kasar mencerminkan penutur tersebut mempunyai tahap pendidikan yang rendah atau tidak tahu berbahasa kerana bahasa yang digunakan. Contoh kata kasar ialah bodoh, sial, celaka, gila, kurang ajar, kepala otak dan sebagainya.

b.         Bahasa Kesat

            Bahasa kesat pula dikaitkan dengan bahasa yang digunakan oleh golongan yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan dianggap bermoral rendah.
Contah bahasa kesat; Dasar anak pungut, tak sedar diuntung. Dari kecil ku bela engkau, kini cuba pula nak melawan aku. Nyah kau dari rumah ku ini.
 Penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kemarahan, kegusaran atau rasa kecil hati daripada pihak yang lain merupakan bahasa yang sopan. Perumpamaan Melayu ada menyatakan ‘sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa’ yang mana mempunyai falsafah yang cukup tinggi dalam konteks kemahiran bertutur dan berbahasa. Malah dalam konteks agama Islam dan agama-agama lain juga,aspek tutur kata dan berbahasa ini diambil kira sebagai perkara yang amat penting,kerana ia turut melibatkan hubungan perasaan antara manusia dengan manusia yang lain.
Al Quran telah memberi beberapa garis panduan sebagai asas bagi mewujudkan perhubungan atau interaksi yang berkesan di antara seseorang dengan seseorang insan yang lain. Di antara ayat-ayat Al Quran yang menjelaskan tentang perkara di atas ialah :
"Perkataan yang baik dan perbuatan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada memberi sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) menyakitkan hati. Dan (ingatlah) Allah maha kaya dan maha penyantun".                                                                            
(Al-Baqarah: 263)
"Dan kalaulah engkau terpaksa berpaling daripada mereka untuk tidak melayani mereka kerana menuntut Rahmat Tuhan kamu yang kamu mengharapkannya, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang baik menyenangkan hati".
(Al-Isra' : 28)
"Maka rahmat Allah yang menyebabkan kamu berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu".                                                        
(Al-'Imran : 159)
"Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat yang baik dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya….."                                                                      
(An-Nahl : 125)
Petunjuk-petunjuk dari ayat-ayat Al Quran di atas telah menggariskan bahawa hikmah kebijaksanaan, lemah lembut dan percakapan dan bahasa yang baik adalah menjadi asas bagi mewujudkan komunikasi dan interaksi berkesan di antara sesama insan. Manakala sifat-sifat keras dan kasar serta kata-kata yang menyakitkan adalah dilarang.


Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Belum lurus keimanan seseorang itu sehingga lurus hatinya, dan belum lurus hatinya sebelum lurus lidahnya. Seseorang tidak boleh masuk syurga selagi ia belum dapat berbuat baik dengan jiran-jirannya.”
Orang yang menggunakan kata-kata kesat dan kasar sebenarnya sedang berhadapan dengan kekalutan jiwa. Dia sebenarnya sedang berperang dengan bayangan hitam yang ada dalam dirinya sendiri, kerana itulah sebenarnya. Bahasa yang kesat mencerminkan jiwa penuturnya yang dipenuhi dendam kesumat dan amat kacau. Rasulullah S.A.W sendiri berdakwah menggunakan bahasa yang paling baik dan halus dan tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda.
Namun dapat diperhatikan senario pada hari ini, ialah penggunaan bahasa yang semakin kasar dan kadangkala juga boleh menggugat keimanan. Ia terserlah dalam penggunaan bahasa di kalangan muda-mudi termasuk remaja, dalam blog penulisan, bait lagu dan puisi, serta dalam rancangan di televisyen atau radio. Penggunaan bahasa kasar sememangnya kurang enak didengar, namun itulah realiti yang terpaksa ditelan hari ini.
2.         Faktor –faktor Yang Menyebabkan Berlakunya Bahasa Kasar

            Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi masyarakat menggunakan bahasa kasar dalam pertuturan seharian. Antara faktor-faktor tersebut ialah:

2.1       Pengaruh Rakan dan Persekitaran

            Rakan terutamanya rakan sebaya dan persekitaran banyak mempengaruhi cara pertuturan seharian terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja. Ini berikutan, kanak-kanak dan remaja banyak bergaul di luar rumah terutamanya di sekolah atau tempat-tempat melepak, contohnay di pasar raya atau restoran makanan segera. Golongan ini lebih cenderung menggunakan bahasa yang kasar dalam pergaulan seharian. Hal ini amat jelas apabila mereka bergaul dengan rakan-rakan sebaya. Sebagai contoh, ungkapan seperti ”kepala otak kau”, ”lu dah gila kah?” sering diungkapkan oleh sesetengah kanak-kanak- atau remaja bagi menunjukkan rasa marah atau geram terhadap sesuatu hal. Sebenarnya ungkapan sedemikian dan banyak lagi perkataan lain yang berunsur kasar atau tidak sopan adalah amat tidak manis didengar walaupun diungkapkan antara sesama rakan sebaya.
Penggunaan bahasa kasar di dalam Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan blog juga tidak terlepas daripada punca kepada permasalahan ini. Kadang kala, akibat mengambil mudah akan hal ini, sensitiviti orang lain tidak dijaga. Selain itu, media juga berperanan besar dalam hal ini. Hal ini demikian kerana terdapat penggunaan perkataan yang tidak sesuai yang ditonjolkan dalam drama, filem dan juga lagu-lagu sedikit sebanyak menjadi ikutan remaja maka kini. Dalam berita sukan contohnya, perkataan ”habuan” bagi menggambarkan hadiah yang diterima pemenang adalah kurang enak didengar. Akibatnya, penonton, terutamanya kanak-kanak dan remaja terbawa-bawa dalam pergaulan seharian.
 Maka, apabila kita senantiasa bertutur dengan perkataan kasar atau tidak sopan, kita sebenarnya secara tidak langsung memprogrankan minda kita ke arah pemikiran negatif. Kesannya, kita bakal membentuk tingkah laku dan emosi yang negatif pula.

2.2       Faktor Emosi, Cara Didikan Keluarga Dan Persekitaran
            Faktor emosi, cara didikan keluarga dan persekitaran juga boleh menimbulkan permulaan tingkah laku anak-anak menggunakan bahasa kasar dalam pergaulan mereeka. Seseorang yang sering mengungkapkan perkataan yang tidak baik dan kasar merupakan gambaran situasi emosi yang kusut, resah dan memberontak. Contohnya, semasa pembesaran anak-anak, didikan keluarga yang tidak mementingkan penggunaan bahasa yang baik boleh menyumbang kepada pemasalahan ini. Ibu bapa yang tidak berlemah lembut dan menggunakan perkataan yang tidak sesuai apabila bercakap atau menegur anak-anak mereka boleh mendidik anak-anak mereka menjadi begitu. Selain itu, ibu bapa yang sering bergaduh di hadapan anak-anak juga cenderung untuk menggunakan bahasa dan nada yang kurang baik dan ini meninggalkan contoh yang tidak baik kepada anak-anak. Hal ini boleh jadi disengajakan ketika menuturkan kata-kata demikian untuk melepaskan perasaan marah atau kekusutan fikiran,dan besar kemungkinan juga tidak disengajakan kerana sedang alpa atau lalai dibuai perasaan emosi tersebut.Secara tidak langsung,penggunaan bahasa sebegitu hanya menaikkan ego mereka dan menunjukkan percubaan untuk menguasai emosi orang yang dimarahi. Lain pula halnya ketika kita berada dalam suasana atau keadaan yang tidak terkawal oleh emosi. Ketika itu, perasaan masa bercakap menjadi penentu bentuk bahasa yang kita pilih. Selalunyanya, dalam keadaan marah, kita hilang pertimbangan dalam berbahasa. Kita menjadi orang yang kurang bahasa atau tak tahu bahasa lalu kita menggunakan bahasa kasar, bahasa yang dianggap tidak sopan atau tidak manis dituturkan. Kekadang, apabila rasa marah memuncak, kita menggunakan bahasa kesat, bahasa yang lebih rendah tarafnya daripada bahasa kasar. Bentuk bahasa ini mengandungi kata maki hamun yang boleh menyakitkan hati orang lain. Natijahnya, kita akan dianggap orang yang tidak berbahasa lantaran berbicara tanpa budi bahasa. Anggapan ini sesuai untuk orang yang seperti itu, kerana bahasa menunjukkan bangsa, dan bahasa jiwa bangsa penutur.

2.3       Pengetahuan Bahasa Yang Lemah

            Kebanyakan mereka yang menggunakan bahasa kasar ialah mereka yang mempunyai pengetahuan cetek dan kurang teliti dan peka dengan bahasa yang digunakan dalam berkomunikasi dan penggunaan percakapan seharian mereka. Mereka ini selalunya mempunyai tahap akademik yang rendah dan tahap pembacaan mereka juga lemah. Selalunya mereka yang sering mengungkapkan bahasa kasar dalam pertuturan seharian mereka hanya berdasarkan perkataan yang dianggap biasa bagi mereka namun sebaliknya bagi golongan lain. Contohnya, perkataan ”celaka”, ”sial” dan sebagainya. Hanya mereka yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi dan mengamalkan kesantunan dalam kehidupan tidak menggunakan bahasa kasar atau tidak sopan ini kerana mereka masih menjaga perasaan orang lain ketika berkomunikasi. Ini kerana mereka sedar akan tanggungjawab mereka sebagai oarang yang berpelajaran harus menggunakan bahasa yang betul agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat.





2.4       Pengaruh Televisyen dan Filem
           
            Menurut I Wayan Pastika, (2008),  bahasa kasar dapat dikategorikan sebagai satu kekerasan dalam berbahasa kerana ungkapan yang digunakan dapat melukai perasaan orang lain. Stesen televisyen di Indonesia sudah menganggap bahawa bahasa kasar merupakan hal yang biasa. Di luar negeri, misalnya, Australia, United kingdom, dan Jepun, stesen televisyen hanya boleh menyiarkan rancangannya (misalnya filem, rancangan lawak, dan forum-forum) yang mengandung bahasa kasar (coarse language) pada jam-jam tertentu, ketika kanak-kanak meninggalkan rumah untuk pergi ke sekolah atau pada pukul 10 malam ketika anak-anak sedang  tidur. Bahasa kasar diyakini akan
membawa pengaruh tidak baik bagi perkembangan emosi dan budi pekerti. Stesen
televisyen yang menyiarkan rancangan yang mengandung bahasa kasar akan mendapatkan kritikan dari masyarakat.
Kata-kata di bawah ini hampir tidak pernah didengar pada saat kanak-kanak menonton televisyen di negara tersebut. Ungkapan kasar berikut dari  film Hollywood sering dibiarkan. Contoh perkataan yang sering diungkapkan;
Film Hollywood Lawakan:
Bahasa Filem Hollywood                               Maksud
Shit                                                                 ‘tahi’
Bullshit                                                           ‘cakap kosong’
fuck you                                                         ‘kurang ajar’
go to hell                                                         ‘persetan’
kill him                                                           ‘bunuh dia’

Televisyen Indonesia:
Rancangan Lawak ” Tawa Sutra”
”Diam, tolol”



Apa yang peliknya di negeri kita yang mengamalkan budaya dan ketaatan agama yang sangat tinggi justeru kata-kata tersebut digunakan dalam berbagai situasi, baik dalam filem-filem,  televisyen  maupun dalam pergaulan sehari-hari. Bahkan ada sejumlah orang yang dengan bangga menghantar ungkapan  ”don’t bullshit me” atau ”fuck you” di kaca telefon bimbit atau di baju-baju mereka. Kedua-dua ungkapan singkat ini sangat mengganggu perasaan orang yang membacanya.

3.         Analisis Bahasa Tidak Sopan

Bahasa sebenarnya wujud kerana kata, tiada kata tiadalah bahasa. Perhubungan untuk menyampaikan dan menerima gagasan antara seorang dengan seorang dan seterusnya antara seluruh anggota masyarakat dengan anggota masyarakat yang lainnya di seluruh jagat ini adalah melalui bahasa.                                                          
(Keris Mas, 1988:31).

             
3.1       Jenis Bahasa Tidak Sopan

Mengungkapkan kata yang bukan-bukan, menyumpah atau mencarut ialah bentuk dan penggunaan bahasa yang dianggap kasar, lucah dan keji oleh sesebuah masyarakat.

3.1.1    Kata-kata Yang Kesat
Antara kata-kata yang sering digunakan ketika menyumpah atau mencarut ialah kata-kata 'kotor' yang dikaitkan dengan najis dan seks, misalnya shit dalam masyarakat Inggeris, dan juga menggunakan kata-kata yang merujuk kepada haiwan yang disalahgunakan semasa memanggil atau merujuk kepada seseorang, misalnya babi, anjing, beruk”, “keldai” dan sebagainya. Apabila ada orang menyifatkan orang lain sebagai “anak haram”, “celaka”, “bangang” dan sebagainya, secara automatiknya telah memberikan kesimpulan bahawa penutur itu sendiri merupakan mereka yang berjiwa kacau. Dia sudah tidak boleh memikirkan secara berhemah bagaimana untuk memecahkan persoalan, dia telah buntu dek dendam kesumatnya kerana hajatnya terhalang. Maka bagi menutupi resah dan gundah akibat kekecewaan, dengan menggunakan tutur kata yang kasar dan ketat, seakan-akan memberikan sedikit kelegaan.
3.1.2    Pertuturan Meninggikan Nada dan Intonasi

Nada atau intonasi yang kasar, keras dan nada suara yang meninggi mungkin membangkitkan rasa kemarahan bagi yang mendengar. Begitu juga bahasa kasar dan penggunaan gaya bahasa yang kurang sesuai juga antara kurangnya aspek kesantunan berbahasa. Penggunaan bahasa yang kasar menjejaskan imej diri penutur dan boleh membangkitkan kemarahan pendengar, oleh itu hal ini hendaklah dielakkan. Begitu juga gaya bahasa yang berunsurkan bahasa ejekan, bahasa herdik atau bahasa sindiran akan meninggalkan parut dalam hati penerima dan dia akan memendam dendam.
Dewasa ini semakin ramai orang yang mempunyai bahasa tetapi tidak berbahasa yakni tiada kesantunan bahasa, baik orang tua, baik muda, baik orang bawahan mahupun atasan. Hal ini berlaku di tempat-tempat kerja seperti di pejabat-pejabat awam, di firma swasta, di kilang, di lading bahkan  juga turut berlaku di rumah, di tempat membeli-belah dan sekolah.Masalah kurangnya aspek kesantunan berbahasa ini sering terjadi pada pihak-pihak yang berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan (costumerservices). Tiada lagi kesantunan berbahasa ketika tetamu atau pelanggan yang hadir meminta bantuan atau minta perkhidmatan kepada para anggota Perkhidmatan Awam yang berkhidmat di kaunter-kaunter barisan hadapan dan jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam penguatkuasaan seperti polis dan imigresen. Bahkan cara pertuturan mereka pula amat atau sedikit kasar serta tiada senyuman yang terukir di wajah mereka.

3.1.3    Ungkapan Sedar Atau Tidak Sedar Penutur

Za'ba (1965) mengatakan teguran dengan menempelak dikategorikan sebagai teguran secara langsung manakala teguran cara menyindir adalah teguran secara tidak langsung. Menurut Za'ba lagi, menempelak bermaksud mengatakan sesuatu kepada seseorang secara tepat dan lansung tanpa berselindung.
Mereka yang menggunakan kata carutan atau sumpahan boleh berlaku pada dua tahap iaitu secara sedar atau sengaja semasa bercakap untuk tujuan tertentu seperti ingin menyakiti hati atau menghina atau menghina sesuatu pihak, menjadi agresif serta perlihatkan sikap tertentu terhadap pihak yang dicemuhkan itu. Tahap yang kedua ialah secara tidak sedar atau tidak sengaja yang mengakibatkan pengucapan kata 'kotor' secara spontan, di tahap ini berlaku semasa seseorang itu menghadapi tekanan emosi seperti dipermalukan secara tiba-tiba di khalayak, atau sewaktu melatah dalam kalangan masyarakat Melayu. Hal ini boleh jadi disengajakan ketika menuturkan kata-kata demikian untuk melepaskan perasaan marah atau kekusutan fikiran, dan besar kemungkinan juga tidak disengajakan kerana sedang alpa atau lalai dibuai perasaan emosi tersebut. Secara tidak langsung, penggunaan bahasa kasar hanya menaikkan ego mereka dan menunjukkan percubaan untuk menguasai emosi orang yang dimarahi.

3.1.4    Pengucapan Dalam Bentuk Ayat
            Pertuturan yang menggunakan bahasa yang tidak sopan sering kali terjadi semasa berlakunya sesuatu urusan di antara pelanggan dengan pegawai yang bertugas. Contoh komunikasi yang selalu didengar;
            a.         Engkau, ke mari … ambil nombor ni.
b.         Awak duduk dulu.
Ayat di atas sebagai contoh ujaran yang diucapkan oleh individu ketika sedang berinteraksi dengan tetamu  atau pelanggan yang hadir ingin meminta perkhidmatan di jabatan atau syarikat mereka.
Ayat (a) tersebut sudah dapat kita tafsirkan betapa kasarnya bahasa mereka yang mengujarkan ayat ini, begitu juga ayat ayat (b).
Dalam konteks komunikasi verbal dua hala, berlaku juga trend pengucapan yang tanpa disedari sebenarnya boleh menyinggung hati dan perasaan orang lain terutamanya apabila berlaku antara dua peringkat umur yang berbeza. Tentu sekali kita biasa mendengar ungkapan “tau tak pe” yang kini dilihat menjadi kebiasaan pengucapan golongan remaja. Lebih mengecewakan ialah mereka langsung tidak mengetahui negatifnya ungkapan tersebut walaupun bertujuan untuk mengiyakan atau bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan. Tingkah laku komunikasi tersebut sebenarnya secara tidak langsung menggambarkan sikap sombong, berlagak, membangga diri serta memperlihatkan penutur lebih tahu akan perkara yang sedang dibincangkan walaupun melibatkan dua peringkat umur yang berbeza.

4.         Kesan Penggunaan Bahasa Kasar

            Penggunaan bahasa kasar yang berlaku secara berterusan tanpa dibendung akan memberikan kesan kepada masyarakat amnya dan negara umumnya.

4.1       Bahasa Menjadi Rosak

            Sesuatu bahasa menjadi rosak apabila bahasa tersebut diungkapkan dengan kasar dan disalah gunakan. Contohnya, setiap kali berkomunikasi penggunaan bahasa kasar sering diungkapkan kerana dianggap sudah biasa digunakan dalam pertuturan harian, dalam penulisan, sietem pesanan ringkas, di laman social dan sebagainya. Akibatnya bahasa menjadi rosak dan menjatuhkan martabat bahasa itu sendiri.

4.2       Gejala Sosial Semakin Berleluasa

            Dengan meningkatnya penggunaan bahasa tidak sopan, masyarakat, terutamanya kanak-kanak dan remaja akan terpengaruh dengan perkataan-perkataan dan ayat-ayat yang sering digunakan. Mereka akan cenderung untuk menggunakan bahasa kasar bersama-sama rakan-rakan yang lain dalam perbualan seharian. Malah sesuatu perkataan atau ayat tersebut menjadi kebiasaan dalam perbualan seharian, contohnya unkapan
“besar giler”, “cantik giler” yang menggambarkan perasaan yang amat suka, hairan dan sebagainya. Ada yang mengejutkan lagi apabila perkataan dan ayat-ayat kasar tersebut turut dilemparkan kepada ibu bapa sendiri. Ini secara tidak langsung melahirkan indiviru yang bersikap kurang ajar dan tidak menghormati ibu bapa. Budak-budak yang masih bersekolah juga turut biasa menggunakan perkataan dan ayat-ayat kasar dalam pergaulan merekadi sekolah. Hal ini memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan dan perkembangan minda kanak-kanak. Jika tiada usaha utuk membendung situasi ini, adalah tidak menghairankan jika kes gegaja social juga turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang belum lagi meningkat remaja.

5.3       Kekeliruan Bahasa Dan Kualiti Bahasa Menurun

            Kekeliruan bahasa terutamanya kepada generasi akan datang turut terjadi jika penggunaan bahasa kasar berleluasa kerana menimbulkan kekeliruan untuk mempelajari sesuatu bahasa tersebut. Mereka akan terkeliru untuk menggunakan bahasa yang sesuai diungkapkan dalam perbualan seharian. Trend pengucapan bahasa kasar yang bakal diwarisi akan menjadi kebiasaan dalam perbualan seharian mereka kerana beranggapan bahawa penggunaan bahasa kasar adalah tidak salah dan lama-kelamaan akan menjadi sebati kepada seseorang individu tersebut. Pastinya generasi yang sering disogok oleh perkataan dan ayat-ayat yang kasar atau tidak sopan setiap hari akan keliru dengan penggunaan bahasa yang betul. Para pelajar akan turut terpengaruh untuk menggunakan bahasa-bahasa yang digunakan dalam tugasan penulisan di sekolah.

5.         Cadangan Mengatasi Bahasa Kasar

5.1       Pemantauan pihak tertentu

Penggunaan bahasa kasar yang berlaku haruslah ditangani dengan segera jika ingin memartabatkankan bahasa Melayu yang kita cintai ini. Pemantauan secara kerap haruslah diambil dari semasa ke semasa untuk memastikan tiadanya kesalahan penggunaan bahasa berlaku dengan sewenang-wenangnya.. Pihak-pihak berwajib haruslah memainkan peranan yang penting dalam memantau masalah ini bukan sahaja di alam persekolahan malah di mana-mana sahaja penggunaan bahasa kasar yang berlaku. Denda dan teguran daripada pihak berkuasa adalah perlu bagi mengelakkan pihak tertentu atau individu daripada melakukan kesalahan menggunakan bahasa kasar dengan bebas dan sewenang-wenangnya. Dengan itu, setiap individu pastinya akan lebih berhati-hati dan sentiasa peka dalam penggunaan bahasa yang betul dan lebih bersopan.

5.2       Mengadakan Seminar, bengkel Dan Kempen Budi Bahasa

Demi meningkatkan lagi kesedaran masyarakat kepada akibat buruk penggunaan bahasa yang tidak sopan , pihak-pihak yang berkuatkuasa haruslah sentiasa menganjurkan dan mengadakan kempen berbudi bahasa, seminar-seminar, bengkel, ceramah dan forum kepada masyarakat, terutamanya pihak media, rangkaian televisyen dan radio, pengiat seni seperti artis-artis dan penerbit filem atau drama serta pelajar khususnya agar kesedaran dan tanggungjawab sentiasa tertanam pada setiap individu masyarakat agar mengelakkan penggunaan bahasa kasar dalam karya dan pertuturan seharian mereka. Seminar ataupun bengkel-bengkel haruslah mengandungi pengisian di mana golongan sasaran didedahkan dengan contoh-contoh dan jenis-jenis kesalahan dan perkataan yang dianggap sebagai bahasa kasar atau tidak sopan yang sering dilakukan dengan harapan agar kesalahan-kesalahan bahasa tersebut dapat dielakkan. Aktiviti-aktiviti seperti ini pastinya akan membuka mata dan ruang minda masyarakat untuk lebih mencintai bahasa kita dan menghargainya.

5.3       Fikir Keburukan sebelum bercakap dan menulis

           Tindakan pihak-pihak berwajib adalah perlu dan penting dalam menangani masalah penggunaan bahasa kasar yang semakin menular di kalangan masyarakat. Namun begitu, tanpa penglibatan penuh dan sokongan padu daripada setiap individu masyarakat pastinya usaha yang dijalankan oleh pihak tertentu adalah sia-sia. Oleh itu, setiap individu juga berperanan penting dalam menangani masalah ini. Sebagai individu yang turut menggunakan bahasa Melayu adalah tidak wajar sekiranya meletakkan tanggungjawab di bahu sebelah pihak sahaja dan menonton tanpa berbuat apa-apa. Adalah tanggungjawab seseorang individu itu untuk memastikan penggunaan bahasa yang betul. Penting untuk berfikir dahulu sebelum bertutur  dan menulis sesuatu  ayat atau perkataan. Hal ini dapat membantu dalam mengurangkan penggunaan bahasa kasar terutamanya dalam bait-bait lagu atau dialog drama atau filem di samping turut memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat amnya.

5.4       Peranan Institusi Pendidikan Dan keluarga

            Dalam hal ini, para pendidik dan ibu bapa berperanan untuk membimbing para pelajar dan anak-anak mereka dalam membentuk gaya pertuturan yang sopan dan teratur. Ketegasan para pendidik dan ibu bapa amat diperlukan agar anak-anak terbiasa dengan disiplin pertuturan yang terdidik walau di mana mereka berada. Anak-anak terutamanya pada peringkat umur kanak-kanak  dan pelajar sekolah sememangnya amat mudah mempelajari ungkapan baru daripada orang di sekeliling mereka. Mereka kemudiannya akan berusaha menggunakan ungkapan tersebut dalam pergaulan seharian, walaupun pada dasarnya mereka tidak memahami apa yang dipertuturkan. Maka para pendidik dan ibu bapa perlu menegur dan menegah para pelajar dan anak-anak kecil daripada menggunakan perkataan yang kasar atau kesat sejurus perkara tersebut berlaku agar tidak diulangi lagi.








           





APENDIKS

RUJUKAN / REFERENSI
Nama Pengarang, (tahun), Tajuk Buku, Penerbitan  
I Wayan Pastika, (2008), Jurnal e-Utama, Jilid1 Bahasa Pijin dan Bahasa Kasar  dalam
 Acara TV Indonesia*
Keris Mas, (1988), Perbincangan Gaya Bahasa Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Za'ba,1965. Ilmu Mengarang Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Morfologi dan Sintaksis