KOMSAS
1.0 Pengenalan
SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 5/2000: Pelaksanaan Komponen Kesusasteraan Melayu Dalam Mata Pelajaran Bahasa
Melayu Sekolah Menengah (Tingkatan I hingga Tingkatan 5) Bermula Tahun 2000.
Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah
bertujuan untuk memupuk dan meningkatkan minat membaca di kalangan pelajar,
serta memperkukuhkan kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran mendengar dan
bertutur, membaca, dan menulis. Di samping itu, pengajaran komponen
Kesusasteraan Melayu diharap dapat menyumbang kepada pembentukan sahsiah,
peluasan pengetahuan dan persepsi pelajar, serta meningkatkan kefahaman dan
kesedaran tentang kemanusiaan, kemasyarakatan dan budaya. Komponen Kesusasteraan Melayu akan dijalankan
secara berperingkat-peringkat mulai bulan Mac 2000. Bilangan teks bagi setiap tingkatan adalah
seperti yang berikut:
a. Satu novel daripada pilihan 4 judul yang
ditetapkan. Ini bermakna, seorang pelajar hanya wajib membaca dan mempelajari
satu novel sahaja bagi setiap tingkatan,
b. Satu teks antologi yang mengandungi 6 cerpen, 3
drama, 6 puisi moden (sajak), 6 puisi tradisional, dan 4 prosa tradisional.
Karya-karya sastera dalam
bentuk novel dan antologi ini akan diletakkan di bawah Skim Pinjaman Buku
Teks.. Walau bagaimanapun, kelonggaran akan diberi kepada pihak sekolah
untuk memilih judul novel yang sesuai bagi pelajar-pelajar sekolah berkenaan
mengikut keupayaan pihak sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia telah
menyediakan Sukatan Pelajaran, dan Huraian Sukatan Pelajaran (Edisi
Penyesuaian) dari Tingkatan I hingga Tingkatan 5 bagi menjayakan pelaksanaan
program ini. Dua waktu diperuntukkan
kepada komponen Kesusasteraan Melayu daripada enam waktu mata pelajaran Bahasa
Melayu. Penaksiran pada peringkat sekolah dan peringkat pusat ialah:
i. Peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai pada Tahun 2001.
ii. Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai pada Tahun
2002.
1
2.0 Kewajaran Pengajaran Komsas dalam Mata pelajaran Bahasa Melayu
Pelaksanaan Komsas dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu baru diperkenalkan pada tahun 2000, oleh itu kajian
terperinci terhadap hasil pelaksanaannya masih belum banyak dilakukan oleh
mana-mana penyelidik bahasa atau mana-mana ahli pendidik setakat ini. Walau
bagaimanapun, sudah banyak kajian serta penulisan yang berkaitan dengan penggunaan
bahan sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu di sekolah yang telah dibuat oleh
para pengkaji bahasa atau ahli-ahli akademik serta para pelajar di institusi
pengajian tinggi. Othman (2001) dalam
artikelnya ‘Strategi Pengajaran Bahan Sastera Dalam Bahasa Melayu’ antara lain
menulis, bagi mencapai keberkesanan maksimum dalam pengajaran dan pemelajaran
komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, haruslah wujud perancangan
atau strategi yang mantap dari pihak guru, pelajar, dan teks yang dipilih. Guru yang mempunyai pengetahuan yang mendalam
dalam bidang kesusasteraan akan membawa pengajaran di dalam kelas ke tahap yang
lebih tinggi yang mendorong pelajar-pelajar melalui proses pemikiran aras
tinggi (Cohen 1991).
Menurut Baharum (1995) kepentingan
bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sememangnya tidak
dapat dinafikan lagi. Ini kerana dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR), Penilaian Menengah rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia(STPM) bahan sastera ialah pilihan utama
apabila menyediakan soalan-soalan peperiksaan. Dengan menggunakan
petikan-petikan daripada bahan sastera sama ada berbentuk prosa atau puisi dan
diajukan soalan-soalan terutamanya soalan pemahaman. Pelajar-pelajar diminta memberikan maksud
rangkai kata, memberikan maksud perkataan, membuat ayat-ayat daripada perkataan
yang dipilih, memberikan pendapat, menjawab soalan berdasarkan petikan dengan
cetusan idea yang bernas dan bahasa yang baik. Kajian Subadrah Nair (2000)
menunjukkan pengajaran skema sastera secara terancang dengan menggunakan model
skema sastera dapat meningkatkan pencapaian kefahaman bacaan subjek secara
signifikan bagi setiap petikan. Implikasi penyelidikan ini menunjukkan model skema
sastera yang dihasilkannya sangat berkesan dan dapat digunakan oleh guru-guru
untuk meningkatkan kefahaman bacaan Komsas di kalangan pelajar.
2
Komponen kesusasteraan
menawarkan pelbagai peluang kepada guru untuk mewujudkan wacana menyelesaikan
masalah, membuat keputusan, membuat inferens, mencadangkan idea baru dan
menilai sesuatu tindakan. Kajian di
Barat misalnya, telah membuktikan bahawa sastera dapat membantu pelajar dalam
pembelajaran bahasa. Fauziah (1999) telah memetik kenyataan penulis-penulis teks
sastera dan bahasa seperti Brumfit dan Carter (1986), Carter dan Long(1991),
Sage (1989), Lazar (1993), dan Collie dan Slater (1990) yang menyatakan bahawa sastera
dapat digunakan untuk meningkatkan dan menggalakkan pemelajaran Bahasa Inggeris.
Mereka bersependapat bahawa nilai kesusasteraan terletak pada aspek instrinsik
sastera kerana sesuatu teks sastera kaya dengan ciri dan sifat bahasa, sama ada
dari segi semantik mahupun pragmatik. Dengan
kajian-kajian serta pendapat-pendapat yang dikemukakan tersebut diharapkan
lebih banyak lagi kajian lain mengenai pelaksanaan Komsas dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu yang baru dilaksanakan dalam kurikulum persekolahan negara kita
dapat dibuat demi meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu serta dapat mencapai objektif pelaksanaan komponen wajib tersebut. Kajian-kajian berkaitan boleh dijadikan asas
serta panduan kepada guru-guru bahasa khususnya Bahasa Melayu bagi tujuan
melihat keberkesanannya apabila hasil perlaksanaan Komsas diuji buat pertama
kalinya melalui peperiksaan SPM pada akhir tahun 2001.
Melalui pembacaan teks-teks
atau bahan kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, murid dapat
meneladani dan menambahkan ilmu pengetahuan, menyuburkan emosi, membina moral
dan pengajaran, unsur kemasyarakatan dan nilai kemanusiaan, dan estetik. Hal
ini kerana dalam proses pengajaran dan pembelajaran komponen kesusasteraan
Melayu dalam subjek Bahasa Melayu terdapat pelbagai gubahan yang menyingkapkan
nilai budaya. Bahan-bahan kesusasteraan
Melayu yang bertemakan moral dapat membantu murid menghayati nilai-nilai murni.
Perkara ini disebabkan murid dapat belajar melalui peniruan watak-watak baik
yang ditonjolkan dalam sesebuah karya kesusasteraan Melayu. Keadaan ini secara tidak
langsung dapat mengurangkan masalah disiplin pada kalangan murid kerana murid
tertarik dengan cerita tersebut, mereka akan mendengarnya atau membacanya
dengan teliti dan tidak mungkin akan menimbulkan masalah disiplin.
3
Oleh itu, wajarlah karya-karya kesusasteraan Melayu
yang terpilih perlu memancarkan nilai-nilai murni yang dapat membentuk
konsep-konsep kebaikan, keikhlasan dan kebenaran dalam pemikiran dan perasaan
murid-murid yang mempelajari kesusasteraan Melayu. Hal sedemikian bersesuaianlah
dengan dasar pendidikan kebangsaan, yang antara tujuan pentingnya adalah untuk
menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Kadang-kadang, proses
pengajaran dan pembelajaran unsur kesusasteraan Melayu dalam subjek Bahasa
Melayu sebelum pelaksanaan pada tahun 2000 tidak mencapai objektifnya kepada
murid. Hasil atau bahan kesusasteraan Melayu yang dibaca oleh murid ada kalanya
bukannya hasil kesusasteraan Melayu yang sesuai dengan kebolehan, tahap atau
keupayaan murid, tetapi lebih berupa cerita semata-mata. Malah kajian yang
dijalankan sebelum ini juga mendapati bahawa buku-buku bacaan kesusasteraan
Melayu yang disenaraikan oleh KPM itu sesetengah daripadanya kurang sesuai
untuk bacaan murid kerana berunsur negatif (Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir, 1997:
189). Oleh yang demikian, kurikulum baru yang berorientasikan komponen
kesusasteraan Melayu lebih berupaya untuk mewujudkan individu yang berminat dengan
karya-karya yang bermutu. Selain itu, penggunaan kesusasteraan Melayu melalui
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang berkesan dapat membantu dan
mempercepat proses itu, selari dengan dasarnya, iaitu untuk membina dan
mengukuhkan lagi pengetahuan asas kepada cita rasa warisan bangsa Melayu supaya
lahir kesedaran; rasa hormat kepada nilai-nilai Melayu, di samping menanamkan
bibit-bibit penghayatan yang dapat melahirkan rasa keinginan untuk menyumbang
kepada khazanah kesusasteraan kebangsaan yang dimiliki bersama itu.
Seterusnya, penggunaan
kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang
berkesan juga berupaya untuk melahirkan sebilangan besar anggota masyarakat
yang dapat menghargai kesusasteraan bangsa. Sekali gus menambahluaskan bilangan
pembaca buku kesusasteraan Melayu. Dalam masa yang sama akan lahir
penilai-penilai, pengkritik-pengkritik, penghasil-penghasil, dan
penerbit-penerbit karya kreatif dan kritis yang lebih bertanggungjawab kerana
fenomena yang seumpama itu dapat mengangkatkan taraf kesusasteraan Melayu kita
kepada tahap profesional yang tinggi. Di samping itu, pengetahuan tentang
konsep dan teori-teori kesusasteraan yang berhubungan dengan beberapa
pendekatan seperti pendekatan sosiologi sastera yang digunakan oleh pengarang
dalam menganalisis karya-karya kesusasteraan Melayu yang estetik dapat
meluaskan pengetahuan guru.
4
2.1 Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu
Komponen Kesusasteraan Melayu telah dijadikan
komponen wajib dalam pengajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah
dengan tujuan mendorong para pelajar untuk membaca bahan-bahan sastera, menikmati
dan mengapresiasi hasil karya sastera,mengetahui latar belakang para penulis
serta sumbangannya dan mengetahui sejarah perkembangan sastera tanah air.
Pelaksanaan kesusasteraan Melayu sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu akan memberi pendedahan kepada para pelajar tentang aspek-aspek
asas dalam memahami genre sastera, antaranya ialah:
• Mengenal
genre cerpen, drama, novel dan prosa tradisional.
• Mengenal
puisi moden dan puisi tradisional.
• Memahami istilah-istilah kesusasteraan
bagi karya prosa dan puisi.
• Memahami
binaan dan teknik plot.
• Menilai dan mengulas mesej,
pengajaran, nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan kebudayaan.
• Menaakul tema atau pemikiran, mesej
dan pengajaran, serta nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan.
• Menilai
dan mengulas gaya bahasa, unsur bunyi dan nada.
Kertas Bahasa Melayu yang
berteraskan teks Komponen Kesusasteraan Melayu ini juga bertujuan untuk
mengukuhkan kemahiran berbahasa pelajar yang merangkumi kemahiran mendengar dan
bertutur, membaca dan menulis. Oleh itu format baru kertas Bahasa Melayu dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2001 ini adalah
berteraskan teks Komsas yang dipelajari oleh pelajar-pelajar sekolah menengah
di Tingkatan 4 dan 5. Pelaksanaan pengajaran Komsas telah bermula sejak Mac
tahun 2000, iaitu semasa pelajar-pelajar Tingkatan 5 sekarang berada di
Tingkatan 4 (Lembaga Peperiksaan Malaysia 2000).
5
2.2 Konsep Pelaksanaan Komponen Sastera dari
segi pelaksanaannya
Pada
1999, Pusat Perkembangan Kurikulum dalam Kementerian Pendidikan Malaysia telah
mengeluarkan Edisi Penyesuaian kepada Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu
Sekolah Menengah Tingkatan IV dan V bagi memasukkan kesusasteraan Melayu
sebagai komponen wajib dalam mata pelajaran bahasa Melayu (Pusat
Perkembangan Kurikulum, 1999). Edisi Penyesuaian ini menerangkan dengan
terperinci kaedah melaksanakan kandungan kesusasteraan Melayu sebagai komponen wajib mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah
atas dari segi kemahiran sastera ynag perlu dicapai oleh pelajar. Misalnya:
(1) Kemahiran mendengar dan mengenal nada dalam puisi (sajak,
pantun, syair, gurindam dan seloka) (Jenis-jenis nada yang dimaksudkan ialah
nada melankolik, romantik, patriotik dan sinis);
(2) Kemahiran mendengar dan memahami sinopsis, tema atau
pemikiran, persoalan, latar serta watak dan perwatakan dalam karya;
(3) Kemahiran melafazkan puisi (pantun, sajak, gurindam dan
seloka) dengan nada dan gaya pengucapan yang menunjukkan pemahaman dan
penghayatan;
(4) Kemahiran menghuraikan dan menyatakan sinopsis, tema atau
pemikiran, persoalan, plot, latar serta watak dan perwatakan;
(5) Kemahiran
menyampaikan ulasan karya secara spontan dari aspek kesusasteraan;
(6) Kemahiran menghuraikan unsur dan nilai kemanusiaan,
kemasyarakatan dan kebudayaan;
(7) Kemahiran mengenalpasti genre cerpen, novel, drama dan prosa
(tradisional dan moden);
(8) Kemahiran menghurai karya dari aspek sastera dengan
menggunakan pelbagai gaya bahasa;
(9) Kemahiran menulis karya kreatif dalam bentuk surat dan
catatan harian, dialog dan skrip drama, sinopsis bagi karya prosa dan ulasan
karya dari aspek sastera;
(10) Kemahiran menghasilkan pelbagai karya puisi seperti sajak,
pantun, seloka, syair dan gurindam.
6
Pelaksanaan komponen kesusasteraan Melayu dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu (juga disebut sebagai komsas) telah berjalan
sehingga 2000. Pada 2001, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan
catatan kedua Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang disemak semula untuk memberi
penekanan pada nilai-nilai murni dan semangat patriotik.
“Ini adalah untuk menyedarkan pelajar akan peranan
dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara maju dan masyarakat berilmu…”
(Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001: .v)
Pelajar abad ke-21 dikehendaki mampu berfikir, berilmu
pengetahuan luas, bertatetika tinggi, bijaksana, serta dapat menggunkan
teknologi maklumat dan berkomunikasi secara kerkesan. Sukatan Pelajaran Bahasa
Melayu sekolah menengah 2001 ini merangkumi 3 bidang penggunaan bahasa, iaitu
bidang interpersonal, bidang maklumat dan bidang estetik. Komponen
kesusasteraan Melayu (komsas) diharap dapat memupuk minat membaca dan
melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap bahan sastera (Pusat
Perkembangan Kurikulum, 2001).
Di antara 5 objektif kurikulum Bahasa Melayu sekolah
menengah 2001, tiga daripadanya adalah menjurus kepada elemen-elemen
kesusasteraan seperti berikut:
(a) Mendengar, membaca, menonton dan memberikan respons kepada
pelbagai bahan sastera dan bukan sastera;
(b) Melahirkan idea dan pendapat dalam bentuk lisan dan tulisan
secara kreatif dan berkesan;
(c) Menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif,
semangat patriotik, dan perasaan cinta akan negara (Pusat Perkembangan
Kurikulum, 2001:.3).
Hasil pembelajaran bidang estetik dalam kurikulum
Bahasa Melayu ini difokuskan kepada “keupayaan pelajar menguasai aspek
kebahasaan, keindahan dan kehalusan bahasa. Bidang estetik juga mementingkan
penikmatan hasil karya yang indah, pelahiran perasaan, membuat apresiasi, dan
penghayatan. Hasil pembelajaran khusus yang perlu dicapai oleh pelajar dalam
bidang estetik ialah memahami, menguasai dan menghasilkan penulisan kreatif dan
bukan kreatif” (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001: 11).
7
Demikian itu, didapati penekanan
yang besar diberikan kepada komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu. Strategi pengajaran dan pembelajaran yang disarankan diberi
penekanan dalam pelaksanaan kurikulum Bahasa Melayu semakan 2001 ini ialah
dalam aspek kemahiran berfikir, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi,
belajar cara belajar, kecerdasan pelbagaian dan kajian masa depan (muka surat
18).
Pada 2003, Kementerian Pendidikan Malausia
mengeluarkan pula Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM bagi memperincikan
sukatan pelajaran 2001 yang telah disemak dan diberi nilai tambah. Huraian itu
menyebut tujuan semakan ini ialah;
“…..untuk menyediakan pelajar-pelajar menghadapi arus
globalisasi serta ekonomi berasaskan ilmu pada abad ke 21” .
(Pusat Perkembangan
Kurikulum, 2003; .ix)
Organisasi kurikulum Bahasa Melayu sekolah menengah
2001 masih lagi sama, iaitu mencakupi 3 bidang penggunaan bahasa: bidang
interpersonal, bidang maklumat dan bidang estetik (Pusat Perkembangan
Kurikulum, 2003). Penumpuan kepada bidang-bidang ini akan membolehkan pelajar
menggunakan bahasa Melayu secara lebih berkesan dalam kehidupan seharian dan
pekerjaan. Komponen kesusasteraan Melayu diperkukuhkan dengan menambah
bahan-bahan bacaan yang lebih banyak dan pelbagai dan bersifat universal. Objektif komponen kesusasteraan Melayu dalam
sukatan pelajaran Bahasa Melayu seperti yang telah disebut pada awal bab ini
adalah untuk memupuk minat membaca dan mendapatkan keseronokan daripada membaca
bahan-bahan sastera, di samping memberi kemahiran kepada pelajar menghasilkan
penulisan kreatif dan bukan kreatif. Perkara yang dititikberatkan dalam sukatan
pelajaran Bahasa Melayu 2003 ini ialah dari segi hasil pembelajaran yang perlu
dicapai oleh pelajar. Dalam Huraian
Sukatan Pelajaran ini dinyatakan secara jelas 3 aras pencapaian hasil
pembelajaran; iaitu Aras 1, Aras 2 dan Aras 3. Pemeringkatan ini didasarkan
kepada konsep pembelajaran masteri yang membolehkan pelajar terus maju tanpa
mengabaikan pelajar-pelajar yang berpencapaian rendah. Aras 1 adalah yang
paling asas yang harus dicapai oleh pelajar; Aras 2 ialah peringkat pencapaian
sederhana, manakala Aras 3 ialah yang paling tinggi iaitu pencapaian cemerlang
(Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003).
8
Dengan berasaskan pembelajaran masteri ini, strategi
pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih felksibel. Pendekatan yang
dicadangkan adalah pendekatan berpusatkan pelajar, yang menggunakan pelbagai
teknik, bahan dan sumber pengajaran. Pendekatan bertema adalah amat digalakkan
bagi menyepadukan ketiga-tiga aspek kemahiran berbahasa, iaitu kemahiran
bahasa, pembelajaran tatabahasa dan pengembangan kosa kata (Pusat Perkembangan
Kurikulum, 2003). Ilmu daripada disiplin lain juga perlu diserapkan. Guru-guru
juga dikehendaki memberi peluang kepada pelajar untuk membaca luas bagi
meningkatkan daya berfikir dan minat ingin terus membaca. Penggabungjalinan
merupakan aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran, termasuk juga konsep
serapan. Proses ini adalah untuk meningkatkan kemahiran bernilai tambah dalam
diri pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Unsur-unsur
penyerapan yang disarankan (muka surat 80) ialah:
(a) Semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat yang
berlandaskan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan;
(b) Kemahiran
berfikir kritis dan kreatif; dan
(c) Kemahiran
ICT, kemahiran belajar cara belajar dan kajian masa depan.
Secara
ringkas, dapat disimpulkan bahawa sepanjang satu setengah dekad dari 1990
hingga 2005, kurikulum Bahasa Melayu telah dilakukan semakan semula beberapa kali untuk
penambahbaikan secara berterusan. Dari segi penekanan aspek sastera dalam
sukatan pelajaran bahasa Melayu dapat dilihat ia telah berkembang dan diberi
kepentingan yang tinggi, iaitu daripada hanya unsur sastera dengan bahan-bahan
sastera yang terhad digunakan dalam pengajaran kepada satu komponen yang besar
meliputi sepertiga daripada keseluruhan kurikulum Bahasa Melayu dan sebagai
satu komponen wajib dalam peperiksaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
3.0 Pembentukan
Jati Diri Pelajar melalui pengajaran KOMSAS
Karya sastera boleh memupuk nilai murni seperti
semangat nasionalisme dan cintakan negara yang menjadi teras bagi penyatuan
semua etnik di seluruh Malaysia.
institusi pendidikan adalah mekanisme yang ampuh bagi mewujudkan
semangat kekitaan dan hubungan muhibah semua etnik. Melalui pembelajaran sastera perpaduan,
mereka juga perlu diasuh dengan kehalusan jiwa dan ketulusan budi semasa
berurusan dengan orang lain.
9
Dalam era globalisasi ini, pembentukan keperibadian
insan selaras dengan pembangunan kemanusiaan, amat memerlukan kesempurnaan jiwa
dan rohani yang antara lain boleh dicapai melalui sastera (Misran Rokimin 1999:
224). Dengan menerapkan pendidikan
sastera secara meluas, pelajar dan pembaca akan terdedah kepada budaya dan cara
hidup masyarakat etnik lain. Ini sangat membantu usaha saling memahami dan
merapatkan kefahaman antara budaya dan perpaduan mereka (Janak Pandey &
rakan-rakan 1996: 86). Hasil kajian ini diperkukuhkan pendapat Gajendra K. Verma
& Christopher Bagley (1979, 1984) bahawa pengajaran tentang hubungan etnik
di institusi pendidikan kepada golongan remaja akan memupuk sifat toleran
sesama sendiri berbanding mereka yang tidak terdedah tentang ilmu tersebut.
Zahirah Aziz dalam kertas kerjanya, Pengajaran
Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Menengah: Konsep
dan Batas Pengajaran, Zahirah Aziz dan Kamaruzaman Abdullah (2001:l-2) menyatakan
bahawa terdapat enam objektif pemelajaran KOMSAS dalam mata pelajaran BM di
sekolah menengah, iaitu:
(a) Meningkatkan dan mengukuhkan minat
membaca pelbagai genre sastera seperti novel, cerpen, drama, prosa tradisional,
puisi moden dan puisi tradisional.
(b) Mengenal
dan menggunakan istilah sastera, iaitu tema dan persoalan, watak dan
penvatakan, gaya bahasa, latar,
plot, sudut pandangan, nilai munli dan pengajaran.
(c) Mengenal,
menghayati dan menghargai karya sastera bagi mengukuhkan kemahiran
bertutur, membaca dan menulis.
(d) Mengenal
pengarang berdasarkan karya yang telah diperakui seperti pengarang
Sasterawan Negara.
(e) Mendapat
nilai murni dan pengajaran daripada karya sastera yang dibaca.
(f) Menghasilkan
karya sastera yang kreatif seperti dapat melahirkan novel, cerpen, sajak, dan drama yang bermutu tinggi yang
boleh dibanggakan.
(Zahirah Aziz dan Kamarulzaman Abdullah,
2001 :2)
10
Objektif yang dinyatakan seperti di atas adalah
selaras dengan falsafah sebab musabab pelajar wajar mempelajari sastera.
Menurut Zahirah dan Kamaruzaman Abdullah ( 2001, 1-2 ) lagi: Kesusasteraan
ialah karya ciptaan yang mengungkapkan pengalaman dan perasaan manusia. Oleh
itu, pelajar boleh menghargai dan menghayati nilai estetika yang terdapat dalam
sesebuah karya. (Zahirah Aziz dan Kamaruzaman Abdullah, 2001 :2).
Zahirah Aziz dan Kamaruzaman Abdullah (2001 :3)
selanjutnya menerangkan bahawa melalui pemelajaran KOMSAS, pelajar diharapkan
dapat:
(a) menyelami
masalah kehidupan dan pengalaman orang lain melalui cerita dalam karya
sastera.
(b) menyelesaikan masalah kemanusiaan dan
kemasyarakatan melalui peristiwa dalam karya sastera. Penyelesaian masalah
secara posjtif dapat membantu pelajar berhadapan dengan
masalah yang dihadapi dalam
kehidupan mereka yang sebenar.
(c) memikirkan
nilai-nilai baik dan murni yang tersirat dalam cerita yang dibaca.
(d) memberi
kepuasan dan keseronokan dalam menghayati watak-watak dan plot dalam
karya sastera.
(e) menambah perbendaharaan kata dan
membantu pelajar menghasilkan karangan atau karya dengan menggunakan gaya
bahasa yang baik.
(Zahirah Aziz dan Kamaruzaman
Abdullah, 2001)
11
4.0 Kesimpulan
Pengajaran
komponen sastera secara formal dalam bilik darjah dapat memperkemaskan lagi
usaha melahirkan golongan masyarakat berilmu, berketrampilan dan berakhlak
mulia. Pembelajaran dapat mempertingkatkan
ilmu pengetahuan yang luas. Setiap ilmu
berkaitan sastera boleh melahirkan pelajar yang lebih berjaya dan
memperkembangkan ilmu pengetahuan.
Penguasaan ilmu sastera yang
digabungkan dengan ilmu-ilmu lain membolehkan pelajar menikmati keseronokan
dengan menerapkan unsur-unsur sastera secara tidak langsung melahirkan pelajar
yang suka membaca. Ini kerana di
Malaysia, sukar mencari orang yang suka membaca. Mempelajari komponen sastera memberi peluang
warga Malaysia menyedari aktiviti membaca perlu disertai dengan minat.
Perkembangan sahsiah pelajar
dibentuk apabila mereka melangkah masuk ke sekolah menengah iaitu dengan
mempelajari nilai-nilai murni ataupun yang lebih penting iaitu nilai-nilai
kemanusiaan. Ini dapat diketahui melalui
karya-karya atau genre sastera yang dipelajari.
Pelajar adalah aset utama yang memerlukan kekuatan bahasa. Kesusasteraan Melayu khazanah yang bernilai
tinggi kerana masih ada nilai-nilai kesantunan tersembunyi di celah-celah
kehidupan masyarakat. Ini adalah salah
satu cara mengangkat darjat bahasa Melayu di peringkat global.
(3060 patah perkataan)
12
BIBLIOGRAFI
(1989). Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur: Pusat Perkembangan
Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
(2000). Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (Edisi Penyesuaian).
Kuala Lumpur: Pusat
Perkembangan
Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
(2000). Draf Pemetaan Kerja Pengajaran dan Pembelajaran Komsas. Kuala Lumpur:
Pusat
Perkembangan
Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
(2000). SPM Format Baru Kertas Bahasa Melayu dan Kriteria
Penskoran Ujian Lisan. Kuala
Lumpur:
Lembaga Peperiksaan Malaysia.
(2000). Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah:
Bahasa Melayu. Kuala
Lumpur: Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Fauziah Ahmad. (1999). Pemelajaran
Bahasa Melalui Sastera: Bahasa Inggeris Sebagai
Bahasa Kedua.
Jurnal Dewan Bahasa 43(11).
Misran Rokimin. (1998). Era Globalisasi: Pendidikan
Sastera Masih Adakah Kepentingannya
Lagi?. Prosiding Seminar Isu-Isu Pendidikan Negara, hlm.
220 - 237.
Othman Puteh, (2001). Strategi Pengajaran Bahan Sastera
dalam Bahasa Melayu. Dewan
Siswa, Mac:
20-21.
Subadrah Nair. (2000). Kesan Skema Terhadap Kefahaman
Bacaan Bahan Sastera. Prosiding
Seminar Kebangsaan Penyelidikan & Pembangunan
Dalam Pendidikan 2000,
hlm.113–125
13
Ulasan
Catat Ulasan